Pesara polis maut kereta langgar lori


LUMUT - Seorang pesara polis maut selepas kereta dipandunya melanggar belakang lori di KM 9, Jalan Lumut - Ipoh di sini semalam.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, mangsa, G Ponnusamy, 65, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan kereta jenis Proton Saga dan lori jenis Hino yang berlaku dari arah Ipoh menghala ke Lumut.

“Setibanya di tempat kejadian, lori berkenaan hendak membelok ke kanan sebelum secara tiba-tiba kereta tersebut melanggar bahagian belakang.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung manakala pemandu lori berusia 40 tahun tidak mengalami kecederaan.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

“Mangsa yang tersepit dalam kenderaan dikeluarkan dengan menggunakan ‘hydraulic rescue tool’.

“Mangsa telah disahkan maut oleh pasukan kesihatan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada jam 11.23 malam,” katanya.